
IPOH, 15 Okt – Sebanyak 50 sekolah di Perak terpilih menyertai program Eco-Schools yang dilaksanakan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak, dalam melahirkan ‘duta hijau’ yang akan berkongsi mesej alam sekitar selain menyemai rasa masyarakat yang bertanggungjawab untuk hidup secara mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc Perak, Anuar Zainal Abidin (gambar) berkata program itu diselaraskan oleh Green Growth Asia Foundation (GGAF), dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak sejak 2021 dan daripada jumlah itu, sembilan sekolah telah menerima penganugerahan Green Flag Award.
Ia melibatkan SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakub (Perak Tengah), SMK Raja Perempuan Kelsom (Kuala Kangsar), SMK Raja Perempuan Ipoh (Kinta Utara), SMK Changkat Beruas (Manjung), SMK Kampung Dato Seri Kamarudin (Manjung), Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah (Larut Matang dan Selama), SK Kuak Luar (Hulu Perak), SJKC Bukit Merah (Kinta Utara) and SJKC Siputeh (Kinta Selatan).
“MB Inc telah memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi tujuan tanggungjawab sosial korporate (CSR) dalam bidang pendidikan dan alam sekitar, menerusi program lestari antarabangsa Eco-Schools,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anuar berkata MB Inc menggalakkan semua sekolah di negeri itu menyertai program tersebut untuk memupuk amalan hijau selaras titah ucapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebelumini, bahawa merimbunkan kehijauan seluruh negeri hendaklah menjadi tanggungjawab bersama.
Pada pelancaran yang disempurnakan Meter Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad itu, turut diselitkan pengiktirafan tiga rekod Malaysia Book of Records (MBOR) 2022.
Ia adalah penglibatan pelajar di dalam acara larian maya terbesar dengan 97,000 pelajar sekolah, anjuran MB Inc, GGAF dan JPN; acara minum minuman pribiotik terbesar secara serentak melibatkan 10,000 pelajar, dengan kerjasama Yakult Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak; dan acara makan salad secara serentak melibatkan 10,000 pelajar, dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Negeri Perak (FAMA).