
IPOH 15 Okt – Programe Eco-Schools Perak menyasarkan penyertaan 100 buah sekolah Eco-Schools menjelang 2025 bagi melahirkan duta-duta kelestarian yang mampu menjadi pemudah penyelesaian isu alam sekitar di dalam komuniti mahupun isu global.
Pada tahun lalu, ia menyaksikan 50 buah sekolah terpilih untuk menyertai program tersebut melibatkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), sekolah Orang Asli dan Sekolah Menengah.
Program kelestarian, Eco-Schools Perak merupakan elemen utama dalam menjayakan pelancaran Eco-Schools perak : Pendidikan Lestari Cikgu Saarani @ Perak Sejahtera 2030 yang merupakan inisiatif Menteri Besar Incorporated (MB Inc) Perak yang diselaraskan oleh Green Growth Asia Foundation (GGAF) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin berkata, agensi itu telah memperuntukkan sebanyak RM1.2juta bagi tujuan tanggungjawab sosial korporate (CSR) dalam bidang pendidikan alam sekitar menerusi program lestari antarabangsa, Eco-Schools.
“Ia dapat memberi impak positifi kepada Kerajaan Negeri Perak iaitu dengan melahirkan ‘duta hijau’ yang akan berkongsi mesej alam sekitar selain menyemai rasa masyarakat yang bertanggungjawab untuk hidup secara mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program tersebut telah dilancarkan pada Khamis yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Halizah Sipun, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Rahimah Mohamed; Pengarah Green Growth Asia Foundation (GGAF), Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamed; Pengarah FAMA Negeri Perak, Noorsham Ramly; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin; barisan Pengurusan MB Inc., serta barisan Pendidik Negeri Perak.
Pelaksanaan program Eco-Schools Perak selari dengan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 3 Mac 2020 yang menitahkan bahawa merimbunkan kehijauan seluruh negeri hendaklah menjadi tanggungjawab bersama.
Program Eco-Schools telah dilancarkan pada 1994 oleh Foundation for Environmental Education (FEE) di beberapa negera di Eropah sebagai tindak balas terhadap keperluan yang dibincangkan dalam Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Hari ini, Program Eco-Schools merupakan sebuah program sekolah lestari yang terbesar di dunia dengan penglibatan 59,000 sekolah, 20 juta pelajar dan 1.4 juta guru daripada 74 negara.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Green Growth Asia Foundation (GGAF), Dr Mahadi Mohamed berkata, sebagai Pengendali Kebangsaan Program Eco-Schools, GGAF gembira dengan pelancaran Eco-Schools Perak.
“Kami komited untuk memperkasakan golongan muda dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menjalani gaya hidup yang mampan,’ ujarnya.