Green Growth Asia Foundation

Eco-Schools Perak Melibatkan 50 Buah Sekolah, Sasar Capai 100 Buah Menjelang 2025

PERAK hari ini melancarkan program kelestarian pendidikan alam sekitar Eco-Schools Perak yang membabitkan 50 buah sekolah melibatkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), sekolah Orang Asli serta Sekolah Menengah dengan sasaran mencapai 100 buah sekolah menjelang 2025.

Program kelestarian berasaskan projek memulihara alam sekitar Eco-schools Perak itu merupakan inisiatif Menteri Besar Incorporated (Perak) yang diselaraskan oleh Green Growth Asia Foundation (GGAF) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Majlis pelancaran program di Royal Perak Golf Club (RPGC) hari ini itu merupakan elemen utama dalam menjayakan pelancaran Eco-Schools Perak: Pendidikan Lestari Cikgu Saarani @ Perak Sejahtera 2030 dengan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin berkata, MB Inc. telah memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam bidang pendidikan dan alam sekitar menerusi program lestari antarabangsa, ‘EcoSchools’.

Menurut beliau, program Eco-schools akan melahirkan duta-duta kelestarian yang mampu menjadi pemudah penyelesaian isu alam sekitar di dalam komuniti mahupun isu global.

“Eco-Schools juga dapat memberi impak positif kepada Kerajaan Negeri iaitu dengan melahirkan ‘duta hijau’ yang akan berkongsi mesej alam sekitar selain menyemai rasa masyarakat yang bertanggungjawab untuk hidup secara mampan,” katanya dalam satu kenyataan selepas Pelancaran Eco-Schools Perak: Pendidikan Lestari Cikgu Saarani @PerakSejahtera 2030.

Pelaksanaan program Eco-Schools Perak selari dengan titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 3 Mac 2020 yang menitahkan bahawa merimbunkan kehijauan seluruh negeri hendaklah menjadi tanggungjawab bersama.

Ianya juga sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri melalui usaha Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad dalam memperhebatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar menerusi Kempen Perak Bumi Lestari.

BERITA BERKAITAN UPSI anjur Bengkel Pengurusan Pusat Sumber Sekolah daerah Langkawi. Perkasa pengurusan perpustakaan

Program Eco-Schools telah dilancarkan pada tahun 1994 oleh Foundation for Environmental Education (FEE) di beberapa negara di Eropah sebagai tindak balas terhadap keperluan yangdibincangkan dalam Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Hari ini, Program Eco-Schools Eco-schools merupakan sebuah program sekolah lestari terbesar di dunia dengan penglibatan lebih 59,000 sekolah, 20 juta pelajar dan 1.4 Juta guru daripada 74 negara.

Sementara itu, Direktor Eksekutif Green Growth Asia Foundation (GGAF), Dr Mahadi Mohamad berkata, sebagai Pengendali Kebangsaan program Eco-School, GGAF gembira dengan pelancaran Eco-Schools Perak.

“Pemahaman tentang kitaran hayat dan kemampanan harus ditekankan dalam sistem pendidikan kita merentas semua disiplin. Penduduk dunia telah menggunakan banyak sumber planet dengan cara yang tidak mampan. Oleh itu, kami komited untuk memperkasakan golongan muda dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menjalani gaya hidup yang mampan,” ujarnya.

Dalam pada itu, tahniah kepada sembilan buah sekolah atas kejayaan mempraktikkan amalanhijau di negeri Perak dan mendapat penganugerahan Green Flag Award (International Award 2022) menerusi program Eco-Schools.

Sembilan buah sekolah tersebut ialah SMK Dato Abdul Rahman Yaakub (Perak Tengah), SMK Raja Perempuan Kelsom (Kuala Kangsar), SMK Raja Perempuan Ipoh (Kinta Utara), SMK Changkat Beruas (Manjung), SMK Kampung Dato Seri Kamarudin (Manjung), SK Sultan Abdullah (Larut Matang & Selama), SK Kuak Luar (Hulu Perak), SJKC Bukit Merah (Kinta Utara) dan SJKC Siputeh (Kinta Selatan).

Dalam pelancaran tersebut, turut diselitkan pengiktirafan tiga rekod Malaysia Book of Records (MBOR) 2022:
a. Penglibatan pelajar dalam Acara Larian Maya Terbesar sebanyak 97,000 pelajar sekolah anjuran MB Inc., Green Growth Asia Foundation (GGAF) dan JPN.
b. Acara Minum Minuman Pribiotik Terbesar Secara Serentak sebanyak 10,000 pelajar dengan kerjasama Yakult Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak.
c. Acara Makan Salad Secara Serentak dengan penglibatan 10,000 pelajar dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Negeri Perak (FAMA).

Dalam pada itu, rakan industri MB Inc. iaitu Rahman Hydraulic Tin Sdn.Bhd, Klay Minerals Sdn.Bhd, dan Jin Sand Global Sdn. Bhd turut menyampaikan mock cheque bagi sumbangan Program-program Pembangunan Pendidikan Negeri Perak dengan jumlah terkumpul sebanyak RM1.5 juta.

Scroll to Top