Green Growth Asia Foundation

GGAF, FGV Holdings Berhad Meterai NOC Kerjasama Pendidikan Perubahan Iklim Melalui Program Eco-Schools Malaysia

SMK Triang 3 menyertai program Eco-Schools Malaysia dengan tajaan FGV Holdings Berhad

BERA, PAHANG, 22 SEPTEMBER 202 – Green Growth Asia Foundation (GGAF), selaku penyelaras kebangsaan program Eco-Schools di Malaysia, hari ini telah memeterai Nota Kolaborasi (NoC) dengan FGV Holdings Berhad (FGV), dalam usaha mengimplementasi pendidikan alam sekitar dan usaha kelestarian di dua sekolah dari Kuantan melalui program Eco-Schools Malaysia.

Program Eco-Schools adalah sebuah inisiatif diiktiraf global dalam memperkasakan pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif dalam membangunkan persekitaran yang mampan dan mesra alam. Program ini telah dibangunkan oleh Foundation for Environmental Education (FEE) yang berpusat di Copenhagen, Denmark. 

KETERANGAN: Majlis Pemeteraian Kerjasama Program Eco-Schools Malaysia bersama Green Growth Asia Foundation, FGV Holdings Berhad bersama SMK Triang 3 dari Pahang bagi program Eco-Schools Malaysia

Di bawah perkongsian strategik ini, FGV, sebuah syarikat global perniagaan agri dan makanan berpusat di Malaysia dengan operasi di seluruh dunia akan berperanan sebagai penaja untuk program Eco-Schools di SMK Triang 3. 

FGV komited kepada tindakan iklim, biodiversiti dan ekonomi kitaran serta memberi sumbangan signifikan kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs). Kerjasama dengan GGAF menekankan komitmen FGV dalam memajukan masa depan yang lestari dan agenda kelestarian keseluruhan. Inisiatif ini turut memperkayakan perjalanan FGV Holdings Berhad dalam aspek Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), mengukuhkan prinsip alam sekitar yang bukan sahaja bertujuan untuk memupuk kesedaran, malah hubungan manusia dengan alam bagi generasi-generasi akan datang. 

Komitmen FGV terhadap kelestarian mendorong usaha berterusan dengan menjalankan pelbagai inisiatif termasuk memastikan akses kepada pendidikan yang merupakan aspek penting hak kanak-kanak. Fokus ke atas pendidikan kanak-kanak adalah sebahagian daripada tonggak menghormati hak asasi manusia di dalam Rangka Kerja Kelestarian Kumpulan, selain daripada menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan melindungi alam sekitar. 

Dato’ Nazrul Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, menyatakan bahawa, “Di FGV, kami sedar akan tanggungjawab terhadap masyarakat dan kesejahteraan generasi akan datang. Kami komited untuk memberi keutamaan kepada pendidikan, dengan mengambilkira semua keputusan yang membabitkan masa hadapan mereka. Kami percaya bahawa dengan mewujudkan persekitaran yang selamat dan membina, kita memberi peluang kepada generasi ini untuk menerokai keupayaan dan potensi mereka sekaligus menjadi pemangkin perubahan positif dalam masyarakat.”

Siti Hajar binti Jamal, Penyelaras Program Pendidikan Hijau dari Green Growth Asia Foundation, menekankan peranan penting yang dimainkan oleh pihak berkepentingan dalam pembangunan mampan. “Kolaborasi ini akan membuka peluang bagi pelbagai projek dan inisiatif yang akan membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar di kalangan pelajar, guru, ibu bapa, penaja dan masyarakat setempat. Ini merupakan langkah bersama dalam membentuk generasi masa depan yang lebih prihatin terhadap bumi kita,” katanya.

Dari kiri: Siti Hajar binti Jamal (Penyelaras Eco-Schools, Green Growth Asia Foundation), Sazali Harun (Regional Controller, FGV Plantation Management Wilayah Temerloh), Salina binti Ma’om (YDP Pengerusi PIBG, SMK Triang 3), Tuan Haji Sarudin bin Kasiman (Pengetua, SMK Triang 3), Encik Norazmi Chai Abdullah (Regional Controller, FGV Plantation Management Wilayah Kuantan)

Majlis Pemeteraian Kerjasama Program Eco-Schools Malaysia ini juga menyambut kehadiran wakil ketua sekolah dan pemimpin Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG). Melalui penyertaan aktif dan komitmen yang kukuh terhadap inisiatif ini, kerjasama pihak sekolah menggariskan keazaman mereka dalam memupuk masa depan yang mampan dan kesedaran alam sekitar untuk generasi muda.

Kolaborasi ini merupakan langkah penting dalam mempromosikan pendidikan alam sekitar dan kesedaran kelestarian di kalangan pelajar, serta mempromosikan penglibatan komuniti secara menyeluruh dalam mencipta masa depan yang lebih hijau dan mampan serta mengimbangi kesan perubahan iklim.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
T : +(60)122242015 | E : communications@greengrowthasia.org | W : greengrowthasia.org

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top