Malaysia negara kedua di dunia menggariskan pelan hala tuju strategik untuk menyokong Perkongsian Pendidikan Hijau UNESCO.
TEMERLOH, 6 NOVEMBER 2023— Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan merasmikan Majlis Perasmian Eco-Schools Malaysia & GEP Roadmap 2030 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Temerloh, di sini, pada pagi ini.
Seri Paduka berdua tiba pada pukul 11:00 pagi sambil diiringi Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Lim Hui Ying dan Pengarah Eksekutif Green Growth Asia Foundation, Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad, ke pameran bertemakan Eco-Schools sebelum berangkat ke dataran utama.
Seri Paduka Baginda dalam Titah Perasmiannya menyatakan kegusaran baginda mengenai isu mitigasi dan adaptasi perubahan iklim yang kini melanda dunia, khususnya terhadap nasib generasi pewaris. Baginda bertitah bahawa “Program Eco-Schools merupakan suatu inisiatif yang baik kerana ia mencorak masa hadapan yang mampan, membuka ruang penerokaan pembangunan kerjaya lestari, metodologi pelaksanaan, dan kejuruteraan semula mental yang menjurus kepada perubahan tingkah laku positif.”
Baginda turut bertitah agar generasi muda diberi peluang dan ruang yang sewajarnya untuk mempersiapkan diri bagi mendepani cabaran pendidikan dan iklim mendatang “…adalah penting bagi pihak berwajib untuk menyediakan ekosistem sokongan yang meraikan perbezaan pendapat untuk melentur pemimpin yang berwibawa, berketerampilan dan berdaya maju demi merealisasikan wawasan negara.”
Sebelum menyempurnakan majlis, baginda menzahirkan hasrat “…agar segala matlamat serta objektif yang terkandung dalam dokumen UN GEP2030 Malaysia Roadmap tersebut dapat dicapai menjelang tahun 2030”, “saya yakin bahawa kebitaraan Malaysia dalam mengoperasikan agenda pembangunan mampan akan terus menyerlah dan diperluas.”
Dalam majlis yang sama, Seri Paduka Baginda berkenan untuk mengurniakan watikah program-Eco-Schools kepada wakil Kementerian Pendidikan Malaysia, simbolik memperkukuh dan mengiktiraf peranan pendidikan dalam memangkin perubahan paradigma sejagat dalam mendepani cabaran pendidikan dan iklim semasa.
Terdahulu, dalam Ucapan Sembah Menjunjung Kasih oleh YB Timbalan Menteri Pendidikan, beliau memperakui bahawa program Eco-Schools yang berpaksikan kemenjadian murid dan penyelesaian jangka panjang berupaya membantu merapatkan jurang cabaran semasa pendidikan negara termasuk Kesaksamaan Pendidikan, Kebajikan Guru, Pengajaran dan Pembelajaran, dan Murid Berkeperluan Khas, berdasarkan pendekatan holistik dan menyeluruh yang selari dengan hasrat falsafah pendidikan kebangsaan “…menjamin ketersediaan generasi pelapis yang berwibawa dan berkebolehan”.
Malah, prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) juga ditekankan dalam ucapan beliau, terutamanya dalam “membentuk tenaga kerja hijau yang mahir serta dinamik” maka “sektor korporat berpeluang untuk melibatkan diri dalam usaha pembinaan negara bangsa melalui pendanaan program Eco-Schools Malaysia”. Dalam ucapan yang sama, beliau menyatakan sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memudahcara pelaksanaan program Eco-Schools selaras dengan matlamat Peta Hala Tuju Usaha Sama Penghijauan Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (UN GEP2030).
Majlis ini turut diserikan dengan persembahan Eco Choral Speaking oleh murid SK Desa Bakti, Mentakab yang diperkenan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Penaung Diraja Eco-Schools Malaysia.
Hadir sama TYT Yeo Seung-Bae, Duta Besar Republik Korea ke Malaysia; Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin; Presiden Foundation for Environmental Education, Lesley Jones; Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia; Pengarah-Pengarah Pendidikan Negeri, Pengarah-Pengarah Institut Pendidikan Guru, serta rakan sinergi Eco-Schools Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
T : +(60)122242015 | E : communications@greengrowthasia.org | W : greengrowthasia.org