Green Growth Asia Foundation

Pemangku Raja Pahang Berkenan Merasmikan Program Eco-Schools Pahang dan Mengumumkan Pelan Halatuju Greening Education Partnership Pahang 2030

Negeri Pahang, negeri pertama di dunia melakarkan pelan halatuju mendokong Greening Education Partnership UNESCO

KUANTAN, PAHANG 13 JUN 2023 – KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan pelancaran Program Eco-Schools Pahang Darul Makmur di Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah di Kuantan. 

Sebagai Penaung Diraja Eco-SchoolsMalaysia, baginda bertitah “Program Eco-Schools merupakan platfom terbaik bagi pembugaran nilai-nilai teladan serta peningkatan kesedaran dan perakuan isu-isu alam sekitar semasa melalui pembelajaran berasaskan projek (PBL). Konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang telah saya titahkan juga diupaya melalui pelaksanaan program Eco-Schools: Alam Sekitar (E) melalui intervensi mitigasi dan adaptasi iklim serta pemeliharaan biodiversiti, Sosial (S) melalui pembangunan komuniti serta perkembangan sahsiah dan intelek murid, dan Tadbir Urus (G) melalui capaian pemegang taruh serta kebertanggungjawapan. Prinsip-prinsip ESG diterapkan secara holistik dalam metodologi tujuh langkah Eco-Schools. Lebih menarik, intervensi pendidikan untuk pembangunan mampan ini mengetengahkan peranan belia selaku ejen perubahan dalam membina masyarakat sifar bersih karbon.”  

Melalui titah ucapan KDYMM Tengku Mahkota selaku Penaung Diraja Eco-Schools Malaysia, baginda memperkenalkan program Eco-Schools Pahang kepada para hadirin khususnya kepada seratus (100) orang pengetua sekolah daripada seluruh negeri Pahang serta jabatan-jabatan Negeri Pahang termasuk wakil-wakil Pejabat Perikanan Negeri Pahang, Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang dan Jabatan Veterinar Negeri Pahang, antara lainnya.

Titah baginda, Program Eco-Schools merupakan sebuah program Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (ESD) terbesar di dunia, jaringannya merentas sembilan puluh lima (95) buah negara dengan penglibatan lebih dua puluh (20) juta murid dan satu (1) juta guru. Program Eco-Schools merupakan elemen terpenting dalam menjayakan pelan hala tuju Greening Education Partnership(GEP) UNESCO menjelang tahun 2030.

Greening Education Partnership(GEP), merupakan sebuah inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertujuan untuk menyampaikan tindakan yang teguh dan komprehensif bagi memastikan setiap murid untuk memperoleh pengetahuan, kemahiran, nilai dan sikap untuk menangani perubahan iklim dan dalam menggalakkan pembangunan mampan. Berdasarkan pendekatan holistik Pendidikan untuk Pembangunan Mampan terhadap pembelajaran, GEP telah digubal untuk memberi inspirasi kepada negara untuk memperkasakan murid dengan kemahiran yang diperlukan untuk tindakan iklim, pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan dalam konteks peralihan ke arah ekonomi digital dan hijau.

Acara puncak di Majlis Perasmian Eco-Schools Pahang ialah imbasan Pelan Hala Tuju Greening Education Partnership Pahang bagi tahun 2023 hingga 2030 oleh KDYMM Tengku Mahkota. Dalam usaha menyepadukan prinsip kemampanan, kesedaran alam sekitar dan tindakan iklim individu ke dalam sistem pendidikan, Pelan Hala Tuju Greening Education Partnership Pahang ini bertujuan untuk memperkasakan generasi muda dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk menangani cabaran alam sekitar yang mendesak. 

Penting diumumkan bahawa negeri Pahang merupakan negeri (state) pertama di dunia yang telah memperkenalkan sebuah pelan hala tuju untuk Menghijaukan Pendidikan. Di dalam titah baginda, Pemangku Raja Pahang menekankan perlunya inisiatif yang berupaya menjadi penggerak belia negara, terutamanya di negeri Pahang untuk menerajui peralihan hijau ke dalam masyarakat-masyarakat negeri Pahang khususnya. 

Tujuan utama Pelan Hala Tuju Greening Education Partnership Pahang adalah untuk memperkasakan peranan pendidikan bagi mencapai matlamat pembangunan mampan, sekaligus mengintegrasikan agenda iklim ke dalam sistem pendidikan di Malaysia melalui empat turus, iaitu:-

Menghijaukan Sekolah

Sekurang-kurangnya 50% institusi pendidikan di Pahang diberi pengiktirafan sebagai sekolah atau institusi hijau setelah menamatkan program Eco-Schools dan Eco-Campus.

Menghijaukan Pembelajaran

100% sekolah yang mengikuti program Eco-Schools akan menerapkan pengintegrasian pendidikan perubahan iklim di dalam Kurikulum Kebangsaan, dan 100% Institusi Pendidikan Tinggi yang menjalani program Eco-Campus akan menawarkan kursus-kursus Pengurusan Pembangunan Mampan.

Menghijaukan Kapasiti dan Ketersediaan

Setiap orang Pengetua / Guru Besar, dan sekurang-kurangnya dua (2) orang guru dari setiap sekolah di Pahang menghadiri Kursus Pendidikan Perubahan Iklim.

Menghijaukan Komuniti

100% sekolah di kawasan FELDA yang mengikuti program Eco-Schools menjadi pusat pendidikan untuk pembangunan masyarakat mampan.

Turut berkenan meraikan majlis pelancaran tersebut adalah adinda kepada KDYMM Tengku Mahkota, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku Penaung Diraja bagi Program Eco-Schools Pahang. 

YAM Tengku Puteri telah menyambut baik majlis pelancaran ini. Baginda bertitah, Program Eco-Schools merupakan solusi jangka panjang, berpaksikan penglibatan belia dalam merealisasikan aspirasi matlamat pembangunan mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

Majlis pelancaran ini merupakan hasil kerjasama Green Growth Asia Foundation selaku penganjur yang mendapat sokongan penuh oleh Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, dan Yayasan Pahang.

Setinggi-tinggi penghargaan telah dirakamkan kepada rakan sinergi Eco-Schools Pahang, iaitu Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation( MGTC), WWF-Malaysia, United Nations Development Programme (UNDP) Malaysia, Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang, Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Jabatan Perikanan Negeri Pahang dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, atas sokongan yang telah, sedang dan akan diberikan bagi menjayakan elemen pendidikan berasaskan projek (PBL) Eco-Schools Pahang. 

Penaja program Eco-Schools Pahang juga telah diberi penghargaan oleh YAM Tengku Puteri. Antara yang hadir adalah wakil-wakil daripada Public Bank Berhad, BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd., FGV Holdings Berhad, Lynas Malaysia Sdn Bhd, DRB HICOM dan Reneuco Berhad di atas kesudian membiayai penglibatan beberapa buah sekolah Eco-Schools di negeri Pahang. YAM Tengku Puteri menyeru agar lebih ramai pihak terutama badan korporat untuk bersama berganding bahu, bagi memastikan impak positif program Eco-Schools dapat dinikmati bagi segenap penjuru negeri tercinta ini. 

Antara dif-dif kehormat yang turut meraikan majlis tersebut adalah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak.

Ketibaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang disusuli dengan lawatan ke Projek Akuaponik PPKI di SK Tunku Azizah dan majlis pelancaran Eco-Schools Pahang telah disempurnakan baginda dengan acara penanaman pokok Podocapus yang telah disampaikan oleh murid-murid SK Tunku Azizah kepada beliau. Acara simbolik tersebut merakamkan sepenuh pengharapan, keyakinan dan kepercayaan belia negeri Pahang terhadap kepimpinan negeri dan negara khususnya untuk melindungi dan mengutamakan Pembangunan Mampan supaya kelangsungan kehidupan yang lebih lestari di bumi Pahang serta negara Malaysia yang tercinta dapat direalisasikan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
T : +(60)122242015 | E : communications@greengrowthasia.org | W : greengrowthasia.org

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top